Teringat lagi ketika berada pada hari-hari terakhir bulan itu, pada tahun lalu.
“Allah, sampai ke aku pada tahun akan datang, untuk merasai bulan ini lagi?”
Pada bulan itu, rasa keinsafan hadir, amal dilakukan dengan
bersungguh-sungguh, peluang diambil sepenuhnya. Namun bila keluar, kita
diserang, dikikis, ditampar oleh anasir-anasir yang menjauhkan kita
daripada Allah SWT. Akhirnya, kita terluka, penuh dengan kecederaan
dalam hati dan jiwa kita.
Malu. Kerna terasa seperti diri ini menipu. Kerna terasa seperti diri
ini telah khianat dengan nikmat yang Allah berikan pada bulan itu.
Tapi, Allah Maha Pengasih. Dia tidak lokek untuk memanjangkan umur
saya, umur anda, umur sebahagian manusia yang terpilih, untuk mendekati
bulan itu kembali. Bulan penuh hadiah, bulan penuh rahmat, bulan penuh
keampunan.
Bulan itu namanya Ramadhan, dan baunya semakin kuat.
Ramadhan Yang Istimewa.
Sekitar 20 hari lagi, Ramadhan akan kembali menaungi langit kehidupan kita.
Bulan istimewa, turun di dalamnya perlembagaan kehidupan kita: Al-Quran.
“
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang
padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,
dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan
(menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” Surah Al-Baqarah ayat 185.
Bulan itu istimewa, di dalamnya Allah membuka seluas-luasnya satu perkara yang sukar: Keampunan.
Daripada Abi Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh
keimanan, dan berkira-kira(bersungguh-sungguh memperhatikan amalnya)
maka diampunkan untuknya segala dosanya yang telah lalu” Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Nasaai, Tirmizi, Abu Dawud dan Ahmad.
Bulan itu sangat istimewa, kerna di dalamnya sahaja Allah menyediakan
sesuatu, yang tiada di dalam bulan-bulan lain: Pembukaan pintu syurga,
penutupan pintu neraka dan suasana, bi’ah untuk berbuat kebaikan dan
meninggalkan kejahatan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila masuk sahaja malam pertama dari bulan ramadhan,
terikatlah syaitan dan terpenjaralah jin, dan tertutuplah segala pintu
neraka, dan tidak terbuka daripadanya walau satu pintu, dan terbukalah
pintu-pintu syurga, dan tidak tertutup daripadanya walau satu pintu, dan
menyerulah penyeru: Wahai orang yang mencari kebaikan, carilah! Wahai
orang yang mencari keburukan, cukup-cukuplah dan Allah menjauhkan kamu
dari neraka. Begitulah setiap malam” Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah, dinilai Sohih oleh Al-Albani.
Sampaikah Aku?
Dan bulan itu datang lagi. Sekitar 20 hari sahaja lagi. Siapa yang
hatinya mula berdebar-debar. Berdebar-debar dengan persoalan: Hidupkah
aku sampai ke bulan itu?
Ya Allah… Saya takut sebenarnya apabila membangkitkan persoalan itu. Takut tak sempat.
Mati itu bila-bila masa. Kita lihat sahaja arwah Ustaz Asri Rabbani,
meninggal dunia sebelum sempat dia merasai Ramadhan, walaupun ketika dia
meninggal dunia, dia telah berada dalam sepuluh hari terakhir Sya’ban.
Takut bukan? Kita patut merasa bahawa kita ini pilihan Allah sekiranya
kita sempat sampai kepada Ramadhan.
Sebab itu kita diajar, untuk berdoa:
“Ya Allah, sampaikan lah kami kepada Ramadhan”
Siapakah dari kalangan kita yang berdoa?
Siapa pula dari kalangan kita yang bersedia untuk menghadapi bulan yang mulia ini?
Kata Hendak Beramal Bersungguh-Sungguh, Tetapi Tidak Pula Bersedia.
Ada orang, dia kata: “Nanti bila sampai Ramadhan, aku buat la amal sungguh-sungguh”
Tapi, apakah orang yang tidak biasa berjogging setiap hari, mampu untuk melakukan maraton 42 Kilometer?
Apakah orang yang tidak melatih kekuatan tubuhnya, mampu untuk mengangkat barang seberat 30kg?
Apakah manusia yang tidak melatih hatinya, dirinya, untuk beramal
bersungguh-sungguh, untuk mencari kebaikan bersungguh-sungguh, untuk
mengekang diri dari kejahatan bersungguh-sungguh, untuk mempebanyakkan
ibadah bersungguh-sungguh, mampu mengaut segala peluang yang ada dalam
masa 30 hari di bulan Ramadhan?
“Ala, nanti malam lailatul Qadr tu, aku bangun la qiamullail. Malam tu
lebih baik dari 1000 bulan. Tak gaduh la ibadah banyak-banyak hari
lain” Mungkin anda berkata begitu.
Tapi siapakah anda untuk Allah pilih bagi berada pada malam yang
teramat mulia itu? Siapakah anda? Mustahil Allah akan menghadirkan malam
itu untuk anda, dalam keadaan diri yang pemalas, dan tidak mempunyai
rasa bersungguh-sungguh dalam mencari keampunannya.
Dengan sikap anda sekarang, dengan kondisi hati anda sekarang, apakah
anda fikir Allah akan izinkan anda dengan mudah, memasuki malam yang
amat mulia, malam yang disebut di dalam Al-Quran dengan satu surah khas,
menunjukkan kepentingannya itu?
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada
Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia
kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik
daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan
izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan
berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat)
itu hingga terbit fajar!” Surah Al-Qadr, ayat 1-5.
Jangan anda bermimpi wahai kawan. Jangan anda bermimpi. Mari kita muhasabah diri.
Yang Besar Di Dalam Ramadhan.
Yang besar di dalam Ramadhan, hakikatnya bukan pahala. Tetapi yang
besar dalam Ramadhan adalah keampunan Allah SWT. Bulan ini, Allah
membuka seluas-luasnya rahmat dan kasih sayangNya. Bulan ini, adalah
bulan Allah SWT membuka peluang keampunanNya kepada hamba-hambaNya.
Pahala, boleh terkikis dengan amal buruk kita. Tetapi apabila kita
mendapat keampunan Allah SWT, maka pahala sedikit atau banyak itu
bukanlah ukuran kita. Yang kita kejar dalam Ramadhan, dalam
ibadah-ibadah kita, bukanlah pahala yang bertimbun-timbun itu. Tetapi
yang kita bersungguh-sungguh beramal dalam bulan Ramadhan ini, adalah
untuk mendekati Allah dan merayu keampunanNya.
Penutup: Ramadhan Semakin Hampir.
Ya Allah. Ramadhan semakin hampir.
Gendang itu sudah dipalu
Menggetarkan hati menarik rindu
Roh-roh mula bangkit tersenyum
Pesta rohani sudah tiba
Ramadhan datang membawa rahmat dan keampunan daripada-Nya
Ya Allah, sampaikanlah aku kepada Ramadhan.
Ya Allah, sampaikanlah pembaca-pembaca LangitIlahi.Com ini kepada Ramadhan.
Berikanlah rezeki kepada kami untuk mengaut sebanyak-banyaknya peluang di dalam bulan hadiah daripadaMu itu.
Berikanlah kami keampunan, rahmat dan maghfirahMu ya Allah.
Moga-moga bulan Ramadhan kali ini, menjadi medan kami untuk melatih
diri, dalam memperkuatkan diri kami menjadi hambaMu yang terbaik wahai
Ilahi.
Para pembaca…
Katakanlah Amin
Posted by: Hilal Asyraf