Ramadhan -Fadhilat VS Kaifiyat

Kunjungan tetamu yang dirindui kian tiba. Cuma berbalik kepada kita bagaimana pula kita mahu ‘melayan’ tetamu yang agung itu. Tidak lain tidak bukan dialah Ramadhan. Dalam pada kita berusaha sehabis mungkin untuk beribadah dalam bulan mulia ini, terdapat sedikit kekeliruan dalam kalangan kita tentang Ramadhan. Sebilangan daripada kita lebih sibuk mentelaah perkara yang disebut sebagai fadhilat (kelebihan) melebihi kaifiyat (cara-cara). Saya tidak menafikan kebaikan kita mengetahui fadhilat sesuatu ibadah dalam Islam itu. Cuma melihat kepada sumber-sumber yang menceritakan tentang kelebihan tersebut banyak yang tidak tepat. Sebagai contoh hadis yang amat masyhur dalam kalangan masyarakat: “Awal bulan Ramadhan itu adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya ialah pembebasan dari api neraka.” Imam Az-Zahabi (sarjana hadis) menyatakan hadis ini adalah hadis mungkar yang membawa maksud diriwayatkan oleh perawi yang dhaif bertentangan dengan perawi yang thiqah. Walaupun hadis ini seringkali digunakan oleh ulama’-ulama’ besar dalam kitab-kitab yang muktabar, tetapi jika sumbernya tidak diperakui maka ia tertolak. Namun demikian ia tidak mengurangkan kredebiliti ulama’ tersebut kerana kemungkinan disebutkan itu untuk waris seterusnya mengkaji semula akan periwayatan tersebut dan juga kesalahan sebagai manusia biasa. Walau bagaimanapun jika terdapat hadis dan pendapat mereka dalam kitab yang sama yang diperakui kesahihannya maka perlu kita terima dan harus dijadikan sebagai pegangan kita. Sesuatu hadis itu mungkin tertolak adalah disebabkan perawinya (penyampai) atau matan (teks) itu tidak diperakui oleh sarjana hadis, namun terdapat hadis-hadis yang sahih membawa maksud yang sama. Sebagai contoh berkenaan bulan ramadhan seperti hadis di atas ada dua hadis sahih yang merangkumi makna hadis tersebut iaitu: 1. Jika datang bulan Ramadhan, maka terbukalah pintu-pintu rahmat, tertutup pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat muslim oleh Abu Hurairah) 2. barangsiapa yang berpuasa pada bulan ramadhan kerana keimanan kepada Allah dan berkira-kira (mengharapkan pahala) hanya dari-Nya maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat bukhari oleh Abu Hurairah) Melihat kepada kandungan kedua hadis ini, sememangnya terdapat rahmat Allah yang begitu luas, pengampunan daripada-Nya serta peluang pembebasan daripada api neraka. Cuma ia lebih selamat kerana datangnya daripada sumber yang sahih dan diperakui serta dijauhkan permasalahan khilaf yang tidak membuahkan hasil. Sebab itu apa yang ingin saya tekankan dalam penulisan ini adalah bukan mengenai fadhilat tetapi kaifiyat. Kalau kita renung semula hadis yang kedua, Allah menawarkan pengampunan-Nya. Namun apakah syarat yang dikenakan untuk kita memperoleh ganjaran tersebut? KEIMANAN Ya. Sememangnya itulah tuntutan Allah daripada hamba-Nya sebelum Dia memberikan ganjaran yang setimpal. Namun untuk memperoleh kebaikan ini bukankah cara-cara yang bertepatan dengan nas melalui mazhab-mazhab yang muktabar perlu dipraktikkan agar kita memperoleh kekhusyukan dalam ibadah dengan perlaksanaannya yang sempurna dan menepati kaedah yang tepat? Sebab itu, saya tegaskan sekali lagi dalam penulisan ini dengan menyeru kita untuk mempelajari (bagi yang belum tahu) dan memperbaiki (bagi yang ragu-ragu) ibadah-ibadah kita dalam bulan ramadhan agar bertepatan dengan nas agama dan pendapat ulama’. Adapun fadhilat dalam bulan mulia ini bukanlah bermaksud tidak perlu kita ketahui. Bahkan elok untuk dipelajari kerana menambahkan keinginan kita untuk menggandakan ibadah. Namun sumber-sumber yang diperolehi haruslah diperakui oleh sarjana hadis atau yang jelas datang dari Al-Quran seperti kelebihan Lailatul Qadr. Kesimpulannya walaupun kita tidak mengetahui banyak tentang fadhilat yang Allah janjikan dalam bulan ramadhan disebabkan keterbatasan dalam menilai ketepatan sumber, yakinlah bahawa Allah akan memberikan ganjaran yang setimpal atas usaha-usaha kita mempelajari dan memperbaiki amalan kita kerana boleh jadi fadhilat yang dinyatakan adalah begitu dan begini, tetapi dengan rahmat Allah dan keikhlasan kita beribadah, Allah gandakan lebih daripada apa yang kita ketahui. Allah pernah berkata melalui lisan Rasul-Nya (hadis Qudsi): ‘Tiap-tiap perbuatan baik, pahalanya sepuluh kali hingga tujuh ratus kali ganda selain daripada puasa. Maka puasa itu adalah bagi-Ku dan Aku yang membalasinya’. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim oleh Abu Hurairah) Posted by:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan